Sumbangan Ungku Aziz dalam Bidang Sastera, Bahasa dan Budaya

Isu Sastera, Bahasa dan Budaya

Sumbangan Ungku Aziz dalam Bidang Sastera, Bahasa dan Budaya


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


Insan cerdik lagi budiman,

Berbudi tinggi budaya dijunjung,

Dikenang baik sepanjang zaman,

Harum mewangi nama disanjung,


Sumbanganmu bukanlah sebarangan,

Merata telah memberi khidmat,

Pemergianmu satu kehilangan,

Semoga Allah cucuri rahmat.


Cendekiawan tokoh Melayu terulung, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz (1922-2020). Sosok figura negarawan yang banyak menyumbang dalam perkembangan bidang akademik dan juga struktur masyarakat di negara kita. 

Atas dasar minat yang mendalam terhadap bidang kesasteraan Melayu, Ungku Aziz telah dilantik sebagai pengarah pengasas yang pertama pada tahun 1956 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau sempat memikul jawatannya selama setahun, kerana tidak mahu mengganggu tugasnya sebagai ahli akademik di Universiti Malaya. Namun minatnya terhadap kesusasteraan Melayu tidak pernah pudar kerana beliau mempunyai sifat karisma yang sangat tinggi dalam membawa perubahan dari segi bahasa melayu dalam universitinya. Dalam penulisan Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan mengatakan bahawa,

"Apabila Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan pada 2003, Profesor Diraja Ungku Aziz antara tokoh penting tidak menyetujui program itu. Dalam hal ini, Profesor Diraja Ungku Aziz dapat dijadikan teladan kerana melaksanakan dasar negara dan pada masa sama tetap memajukan universiti pimpinannya. Beliau membuktikan bahawa bahasa kebangsaan bukan batu penghalang kecemerlangan universiti. Beliau tidak pula menolak keperluan menguasai bahasa asing, malah menegaskan perlunya pelajar diberi peluang menguasai bahasa asing yang utama. Hal itu dibuktikannya dengan memperkenalkan University Malaya English for Special Purposes (UMESP) untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan mahasiswa pada ketika itu."

Walaupun Allahyarham berasal dari keturunan bangsawan, perwatakan beliau sangatlah bersifat sederhana dan merendah diri. Ungku Aziz juga seorang pemimpin strategis iaitu ahli pemikir dengan visi yang jelas sehingga memastikan sesuatu itu dapat tercapai dan dilaksana. Keperibadian beliau juga sangat etika, berpengalaman, berilmu tinggi dan juga mempunyai akhlak yang baik.

Selain daripada sumbangan mengasaskan Tabung Haji yang menjadikan nama beliau lebih harum, Ungku Aziz juga turut mempunyai perkhidmatan lain yang cukup hebat. Sebagai contoh, beliau pernah menyertai Perkhidmatan Awam Johor (JCS). Seterusnya berbakti sebagai Pensyarah Ekonomi di Universiti Malaya Singapura (1949-1960). Pada tahun 1960-1965, beliau dilantik pula sebagai Pensyarah Kanan dan Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Sastera, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (1965-1968), sebelum menjadi Naib Canselor, Universiti Malaya dari tahun 1969-1988. Untuk rekod, beliau merupakan Naib Canselor Universiti Malaya paling lama berkhidmat dengan universiti tersebut kira-kira 20 tahun.

Umumnya, kita boleh merasakan keikhlasan dan kejujuran penulisan Profesor Ungku Aziz dari aspek bidang bahasa. Walaupun telah menjawat jawatan yang penting dan utama sebagai orang Melayu pertama sebagai Naib Canselor di universiti tertua di Malaysia, Profesor Ungku Aziz terus teguh dengan prinsip dan integriti. Penulisan beliau sentiasa dekat dengan masyarakat merentasi bidang, tidak retorik, bukan sekadar berteori tetapi praktikal untuk dilaksanakan. Profesor Ungku Aziz merupakan ikon intelektual negara yang mengabadikan penulisannya untuk rakyat dan masyarakat. Moga seluruh ahli akademik dapat mencontohi dan meneladani tokoh yang menginspirasi ini.

The Renaissance Man buku mengenai pemikiran dan ketokohan, keunikan Ungku Aziz.

Profesor Ungku Aziz tidak hanya menulis dalam bidang kepakarannya sahaja tetapi merentasi aspek yang lain termasuk seni dan budaya. Beliau sangat berminat memperhalusi seni dan budaya orang Melayu khususnya mengenai pantun Melayu. Penulisan Profesor Ungku Aziz adalah bersifat membina dan konstruktif. Apabila berbicara mengenai nasib orang Melayu, beliau memberikan idea, semangat dan harapan kepada orang Melayu untuk melakukan perubahan dan menerajui zaman. Beliau tidak merendah-rendahkan atau memperkecilkan kemampuan orang Melayu tetapi menegur, menyuntik semangat dan membuka minda agar terus berusaha untuk memajukan diri dan bangsa.

"Elok kain elok tepinya, elok kain elok raginya, elok akhlak eloklah pemimpinnya, elok pemimpin eloklah institusinya." (Tenas Effendy)

Terlalu banyak jasa yang beliau berikan buat negara ini. Diharapkan juga segala usaha beliau dapat dijadikan ikon dan pedoman yang elok diteladani dalam banyak perkara buat generasi muda hari ini. Semoga Allah menempatkan Allahyarham Ungku Abdul Aziz dikalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Bisirril Fatihah.


في خير ولطف وعافية

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ulasan

Catatan Popular