Drama Warkah Cinta Berbau Syurga : Suatu Kritikan
Kritikan Terhadap Drama
Drama Warkah Cinta Berbau Syurga : Suatu Kritikan
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
“Biar beribu parut luka menghiris kalbu,
Hanya keikhlasan cinta menjadi penawar,
Sekalipun diriku terbuang di mata insan,
Engkau Maha Mengerti letaknya cintaku ini.
Izinkan aku meniti di atas hamparan syurgamu,
Bila saat ku pergi, biarlah cintaku tetap di situ.”
“Selama-lamanya kelembutan
takkan pernah tewas dengan kekerasan.”
Drama “Warkah Cinta” lakonan hebat oleh Imam Muda Nazrul dan Heliza Helmi ini keseluruhannya hanya mempunyai 12 episod. Imam Muda Nazrul merupakan naib juara Imam Muda Musim Ke-2, memegang watak sebagai Amir Mukhlis manakala Heliza Helmi sebagai Wardah. Drama ini dahulunya ditayangkan di TV Al-hijrah pada tahun 2012. Sekalung tahniah dan penghargaan buat pengarang novel 'Warkah Cinta Berbau Syurga' karangan A. Ubaidillah Alias dan Alkahfi Pictures sebagai media terbitan filem ini, arahan Mior Hashim Manap dan skrip dari pengarang novel sendiri. A. Ubaidillah Alias menggunakan latar penceritaan yang menarik dengan penggunaan bahasa yang indah disulami puisi yang mampu menyentuh naluri pembaca.
Drama ini mengetengahkan tentang bagaimana seorang pemuda berjuang dalam menjaga dirinya dari perasaan cinta yang tidak suci. Dia, (Amir Mukhlis) adalah seorang lelaki yang berpendirian. Dia sangat tegas dalam soal hati dan perasaan dan tidak mahu ada cinta di antara dia dan Wardah hanyut dibuai badai perasaan yang memesongkan. Baginya, kata cinta yang benar-benar layak adalah kepada si dia yang benar-benar halal yakni isteri.
Setelah tamat persekolahan, Amir melanjutkan pengajiannya di Timur Tengah, Universiti Al-Azhar. Bayangan Wardah akhirknya dilepaskan saat wanita itu terpaksa berkahwin dengan lelaki yang bukan pilihannya. Amir tidak mahu dirinya tenggelam dalam kekecewaan, dia reda dengan segala ketentuan-Nya. Sehinggalah watak Balqis muncul di kehidupannya sewaktu Amir di Kaherah.
Menurut pandangan saya, drama ini sangat baik dalam memulihkan kembali tanggapan yang salah bagaimana mahu memanifestasikan cinta dengan cara yang lebih terjaga dan kaedah mengatasi cabaran cinta. Namun, terdapat beberapa isu yang akhirnya berjaya saya fahami iaitu mengenai watak Wardah. Benar, Wardah dan Amir keduanya merupakan pelajar bersekolah agama. Tetapi kita dapat lihat bagaimana keduanya bermujahadah tentang cinta. Seharusnya Wardah faham soal itu kerana latar belakang pendidikannya tidak jauh beza sekali dengan Amir Mukhlis. Drama ini akhirnya menuntun saya untuk melihat kembali perbezaan fikiran dan tindakan terhadap seseorang yang mana benar menjaga ilmu lagi memahami agama dan mana tidak. Situasi ini lebih kepada masalah antara seorang yang berilmu dan seorang yang kurang faham soal batasan agama dibebani dengan isi konflik oleh keluarga Wardah. Mungkin ada hikmahnya mengapa mereka tidak dipersatukan pada akhirnya. Atas sebab Allah ingin pelihara kedua-dua merekalah terdapat banyak ujian hidup yang dilalui satu demi satu oleh Wardah dan juga Amir.
Walau bagaimanapun, saya ingin memuji bagaimana setiap watak dalam drama ini sangat menjaga aurat dan segala tuntutan agama dipelihara dengan sangat baik oleh pelakon-pelakonnya. Sesungguhnya filem drama seperti inilah wajar menjadi contoh bagi penggiat seni lakon tempatan di luar sana. Sebenarnya dari segi agama, tidak ada halangan untuk berlakon tetapi haruslah mengenal apa yang agama kita ajarkan dan bataskan. Setiap perkara haruslah dipandang serius kerana tugas industri filem seperti inilah seharusnya memberi kesedaran dan pendidikan untuk masyarakat dan apa nilai dan pengajaran kepada penonton. Segalanya bisa memberi impak dalam setiap sudut kehidupan masyarakat. Keteguhan prinsip dalam watak Amir Mukhlis perlu dicontohi remaja masa kini agar tidak tenggelam dalam arus kontemporari cinta yang mengkhayalkan.
Akhir kata, mari kita amati bersama setiap inci pengajaran yang ada, nilailah dengan ilmu. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
في خير ولطف وعافية
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ulasan
Catat Ulasan